♥j0m bERtUkaR LiNk♥

Monday, September 26, 2011

apa 3 perkara yg takkan putus??




Rasulullah telah menyatakan bahawa terdapat 3 aliran pahala yang tidak akan putus sampai kepada kita meskipun kita telah meninggal dunia. 3 aliran pahala itu ialah:

1.Sedekah jariah.
2.Ilmu yang diamalkan.
3.Anak soleh.
Diriwayatkan dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘an bahawasanya Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Apabila seseorang manusia itu meninggal dunia maka terputuslah segala amalannya melainkan daripada tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu pengetahuan yang dapat diambil manfaat daripadanya dan anak soleh yang mendoakan untuknya”. (Hadith riwayat Imam Muslim)

Sedekah Jariah
Sesiapa pun boleh memberikan sedekah tidak kira samada orang kaya mahupun miskin. Sedekah tidak semestinya dengan harta. Boleh juga sedekahkan tenaga dan masa. Sebagai contoh ada seorang hartawan ingin membina sebuah masjid untuk kegunaan orang ramai, mereka yang kurang mempunyai wang boleh menderma RM10, RM5, RM1 dan sebagainya. Buat mereka yang tiada wang pula boleh berikan masa dan tenaga mereka untuk tolong membina masjid tersebut. Sedekah jariah juga tidak terbatas di masjid saja. Di mana-mana saja sedekah boleh diberikan. Samada barangan dapur, kelengkapan rumah, pakaian, wang dan apa-apa saja yang boleh dimanfaatkan untuk kebaikan.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang maksudnya:

“Hendaklah setiap orang Islam itu bersedekah , jika ia tidak dapat berbuat demikian , maka hendaklah ia berusaha sendiri yang dapat memberi faedah kepada dirinya sendiri dan dengan yang demikian ia dapat bersedekah, jika ia tidak sanggup, maka hendaklah ia menolong orang yang susah yang memerlukan bantuan, jika sekiranya ia dapat berbuat demikian, maka hendakah ia menyuruh orang lain mengerjakan kebaikan, jika ia tidak dapat berbuat demikian juga, maka hendaklah menahan dirinya daripada melakukan kejahatan, kerana yang demikian itu adalah dianggap sedekah.” H.R. Ahmad.

Ilmu Yang Diamalkan

Ilmu itu maksudnya luas. Tidak semestinya ilmu agama. Apa sahaja ilmu yang boleh diamal dan dimanfaatkan oleh orang lain bakal memberikan pahala yang tidak putus-putus kepada kita. Berikan ilmu tentang perniagaan yang halal, berikan ilmu cara mendidik anak, ilmu dalam memotivasikan diri dan apa jua ilmu yang bermanfaat kepada orang ramai dengan ikhlas dan sabar. Sampaikan pesanan Rasulullah walaupun satu ayat!

Di zaman moden yang sedang kita lalui sekarang begitu mudah untuk kita kongsikan ilmu kepada orang ramai. Kita boleh menulis status yang baik-baik setiap hari dalam Facebook. Boleh menulis artikel-artikel yang bermanfaat. Berkongsi ilmu-ilmu agama melalui penulisan buku, blog dan pelbagai lagi laman sosial yang wujud ketika ini. Tetapi sayangnya ramai di antara kita leka dan sibuk dengan perkara yang sia-sia. Facebook digunakan untuk mengorat gadis-gadis cantik. Yang gadis pula sibuk memaparkan aksi-aksi seksi dan ghairah mereka dalam Facebook dengan menunjukkan aurat dan pelbagai gaya yang tidak senonoh.

Anak Yang Soleh

Buat mereka yang mempunyai anak, ketahuilah anda mempunyai permata yang amat bernilai. Didik mereka sebaik-baiknya supaya menjadi anak yang soleh dan solehah. Amalan kebajikan mereka akan sampai kepada kita sehingga akhir hayat mereka.

Inilah 3 aliran pahala yang tidak akan putus-putus sampai kepada kita meskipun kita telah meninggal dunia. Semoga bekalan ini mampu untuk menampung sisa-sisa pahala yang mampu kita kumpulkan sepanjang hidup di atas muka bumi ini. Jangan sampai kita menjadi seorang yang muflis di hari pembalasan kelak.

Banyakkan berdoa, bertafakkur, bertaubat dan menginsafkan diri supaya kita dilindungi dari dosa yang tidak kita ketahui dan dari dosa yang tidak terampun. InsyaAllah…


Wallahualam.....

No comments: